Sunday, 15 December 2013

Wilshere berdepan siasatan FA

Mertesacker memarahi Ozil kerana tidak merai penyokong Arsenal.

Jack Wilshere mungkin berdepan siasatan Persatuan Bola Sepak England (FA) selepas dilihat membuat isyarat lucah dalam kekalahan 6-3 Arsenal kepada Manchester City di Stadium Etihad.

Gambar potong Wilshere dari TV.
Rakaman televisyen jelas menunjukkan Wilshere yang kecewa melakukan isyarat jari tengah ketika separuh masa kedua dalam perlawanan perit buat pendahulu Liga Perdana itu, yang kini hanya mendahului City dengan tiga mata.

Turut berlaku ialah pertengkaran di antara dua rakan sepasukan Per Mertesacker dan Mesut Ozil ketika mereka meninggalkan padang, walaupun pengurus Arsenal Arsene Wenger sekadar ketawa tentang konfrontasi tersebut.

“Begitulah orang Jerman!” kata Wenger berseloroh. “Mereka akan selesaikannya sesama mereka, jangan bimbang tentangnya.”

Bagaimanapun, FA dijangka melihat sikap Wilshere tanpa rasa humor dan, walaupun sekiranya pengadil Martin Atkinson gagal menyebut insiden tersebut dalam laporannya, badan induk itu memiliki kuasa untuk mendakwa pemain kebangsaan England itu dengan salah laku.

Pemain Liverpool Luis Suarez sebelum ini digantung satu perlawanan atas kesalahan sama dua musim lepas.

“Saya tidak melihatnya,” kata Wenger berhubung tindakan Wilshere. “Saya tidak pasti jika dia lakukannya. Jika benar dia buat begitu dan digantung, kami terpaksa menerimanya.”

Mengejutkan, mengambil kira yang City telah menjaringkan 31 gol dalam enam perlawanan di tempat sendiri selain turut menjaringkan enam gol ketika menentang Tottenham Hotspur, selain empat ketika menentang Manchester United, Wenger enggan menganggap pasukan bimbingan Manuel Pellegrini itu sebagai pencabar utama Arsenal dalam memburu gelaran liga.

“Saya tak tahu. Kita tunggu dan lihat,” kata Wenger ketika ditanya sama ada kekalahan ini boleh membawa kesan besar.

“Mereka adalah antara pasukan yang perlu diberi perhatian, tetapi tidak lebih dari pasukan lain. Kami telah bermain menentang Everton yang sebagus City, kami telah menentang Southampton,  juga sebagus City.

“Apa yang paling mengecewakan saya ialah kami berpeluang meninggalkan City dengan sembilan mata tetapi mereka semakin dekat dengan tiga mata malam ini (Sabtu). Itu amat sukar diterima kerana itu sebuah pasukan yang bukannya tidak boleh dikahkan hari ini.”

Dakwaan Wenger bagaimanapun dilihat tidak tepat, mengambil kira penguasaan City dengan Pellegrini menikmati jaringan Sergio Aguero, Alvaro Negredo dan David Silva, satu penalti Yaya Toure dan dua daripada pemain Brazil Fernandinho.

Wenger mendakwa pasukannya dinafikan satu penalti jelas dan sering menjadi mangsa keputusan tidak tepat penjaga garisan, menyaksikan pasukannya memperolehi dua gol menerusi Theo Walcott dan satu tandukan lewat Mertesacker.

Bagi Pellegrini, kemenangan ini menyusul selepas kemenangan menarik ke atas di Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara, keputusan yang sedikit dibayangi oleh pengakuan pengurus itu yang dia tidak sedar berapa banyak gol yang diperlukan pasukannya dalam perlawanan tersebut untuk memenangi peringkat kumpulan.

“Ini perlawanan yang lebih lengkap berbanding ketika menentang Bayern Munich kerana kami tidak dapat jaringkan empat gol menentang Bayern dan ada banyak rungutan tentang itu,” kata pengurus City dalam nada bergurau.

“Tetapi saya tidak fikir ini persembahan terbaik kami kerana Arsenal menjaringkan tiga gol dan itu terlalu banyak untuk peluang yang mereka dapat.

“Tetapi ia permainan yang amat lengkap dari segi serangan kerana bukan mudah menjaringkan enam gol menentang Arsenal. Mereka memiliki pertahanan terbaik dalam Liga Perdana, dan kami ada sekurang-kurangnya empat atau lima lagi peluang untuk menjaringkan gol.”

Persembahan Fernandinho, dibeli $49 juta dolar dari Shakhtar Donetsk Jun lepas, mendapat pujian Pellegrini, yang berkata: “Fernandinho bermain dengan sempurna. “Bukan sahaja dia berjaya jaringkan dua gol, tetapi dia bermain dengan baik sekali, mendapatkan kembali banyak bola sepanjang perlawanan dan menunjukkan kepantasan yang baik. Saya gembira dengannya, dia seorang pemain yang bagus dan anda akan melihat dalam setiap perlawanan yang dia akan terus meningkat.” -AFP

No comments:

Post a Comment

Pages