Tuesday, 10 December 2013

Andrea Pirlo: Penterjemah seni 'regista'

Pirlo arkitek Azzuri dan Bianconeri.

Peminat di Turin menggelarnya 'Mozart'. Dia berpindah ke Juventus dari AC Milan pada 2011 menerusi perpindahan percuma kerana faktor usia tetapi menjadi arkitek di Juventus dengan merampas kejuaraan Sirie A pada musim dia direkrut Old Lady. Dia juga seorang pakar hantaran dari Itali dan pernah menjulang Piala Dunia pada 2006. Namanya adalah Andrea Pirlo.

'Bagi saya, dia 
adalah pemain 
tengah terbaik
di dunia'  

-Carlo Ancelotti
Pirlo adalah salah seorang pakar hantaran bola disegani di Eropah dan antara pemain tengah terhebat dalam sejarah Itali. Namanya sebaris dengan pemain hebat ketika ini seperti Xavi, Sergio Busquets, Xabi Alonso dalam posisinya. Tonggak Juventus ini menterjemah makna 'regista', peranan perancang tengah jauh di belakang dalam dunia bola sepak moden.

Pada usia 34 tahun ketika ini, mengekalkan konsistensi permainan bagi seorang sepertinya sangat mengagumkan. Pastinya Ryan Giggs atau Francesco Totti -masing-masing berusia 40 dan 37 tahun dan masih bermain - lebih berusia jika dibandingkan dengan dia, tetapi Pirlo lebih konsisten dalam permainan dan sentiasa memberi impresi mendalam dengan statistik hantarannya dan tahun hadapan masih kekal bermain untuk Itali dan musim ini memimpin Juve untuk memburu kejuaraan Sirie A berturut-turut.

Dia juga menjadi tunjang bagi Azzurri dengan 108 cap di atas namanya dan digelar i'architetto si tukang arkitek Itali dengan hantaran menakjubkan.

Dalam dunia bola sepak moden, kita sering disajikan dengan pemain perancang "nombor 10" semakin kerap dipakai dengan antaranya pemain ketika ini seperti Wayne Rooney, Mesut Ozil, Cesc Fabregas, Wesley Sneijder, Juan Mata atau Mario Goetze antara yang cemerlang dalam posisi itu tetapi peranan 'regista' belum pernah lagi diterjemahkan dengan erti kata sebenar melainkan Pirlo, seorang 'artis' dunia bola sepak.

Regista adalah posisi klasik perancang tengah jauh di belakang dengan mengatur gerak, lorongan untuk rakan pasukan. Pirlo menjadi pengatur dalang untuk rakan pasukan sama ada memulakan gerakan menyerang untuk rakan di hadapan, mencari ruang serangan atau mencipta peluang dari bahagian belakang. Posisi ini juga menjadi penyambung di antara benteng pertahanan dan jentera serangan selain pasukan dibina di sekeliling pemain 'regista' - inilah yang membezakan di antara regista, yang digambarkan sebagai perancang tengah dalam (deep-lying playmaker) berbanding pemain pemegang tengah (holding midfielder). Pemegang tengah berperanan mematikan serangan lawan, gabungan bantuan ke atas benteng pertahanan dan jentera serangan tetapi corak permainan tidak dibina berdasarkan holding midfielder.

Xavi (seorang lagi pakar hantaran) juga adalah pemain dalam posisi regista tetapi bintang Sepanyol ini tidak terlalu sinonim dengan nama peranan ini berbanding Pirlo.

Itali menang Piala Dunia 2006 dengan adanya Pirlo, Sepanyol menang Euro 2008 dan Piala Dunia 2010 menerusi kewujudan Xavi. Regista dalam bentuk asli diguna di Sirie A dan pemenang Scudetto dalam tiga musim terakhir yang lepas (AC Milan sekali dan Juventus dua kali) dengan adanya regista. Menariknya si tukang regista ini adalah Pirlo.

Pirlo menterjemahkan makna regista hampir kepada peranan 'Makalele', diabadikan menerusi posisi oleh Claude Makalele di Chelsea.

Beberapa rajah berikut merupakan penunjuk statistik Pirlo.


Menakjubkan Pirlo mencatat 90 hantaran berjaya daripada 98 cubaan, iaitu kadar ketepatan 92 peratus menentang pasukan seperti Real Madrid pada 5 November.
Hantaran Pirlo ketika menentang Real Madrid. Foto: Ehsan Squawka

Ketika mewakili Itali, Pirlo juga merekodkan 114 hantaran berjaya daripada 131 dengan kadar ketepatan 87 peratus ketika perlawanan menentang Euro 2012.
Hantaran Pirlo ketika menentang England.  Foto: Ehsan Zonalmarking

Ini menunjukkan Pirlo sentiasa memukau dengan statistik hantarannya dan cara hantaran pemain Old Lady ini  menunjukkan variasi bukan sekadar hantaran pendek, tetapi juga jauh dan lorongan sederhana. Dia juga sering menyempurnakan sepakan sudut dan percuma untuk Juventus dan Itali.
Penghantar tepat Eropah 2012/13.
Musim 2012/13 Pirlo terus cemerlang dengan Whoscored merekodkan pemain kelahiran Flero, Lombardy di Itali ini antara lima pemain hantaran paling tepat di Eropah.

Dalam dekad lepas, kita melihat kebangkitan "pemain nombor 10" dengan lagenda seperti Zinadine Zidane, Michael Platini, Manuel Rui Costa - perancang tengah klasik. Tetapi 'regista' akan semakin digunakan dalam dunia bola sepak moden yang terus berkembang dengan perubahan taktik-taktik ketika ini dan peranan ini kini sebati dengan Pirlo kerana dia menterjemahkan bola sepak itu umpama seni bagi sebilangan peminat, jika tidak masakan dia boleh digelar Mozart, antara pemuzik, komposer paling berbakat era Victoria dari Salzburg, Austria.

Pirlo adalah antara pemain paling berpengaruh dalam generasi mereka dan kini adalah lagenda hidup dan masih konsisten beraksi ketika artikel ini ditulis. Menjelang Piala Dunia di Brazil, mampukah Pirlo terus menjadi arkitek buat Itali dan kekal sebagai 'Mozart' buat Juventus, adalah sesuatu yang ingin dilihat oleh pemerhati, peminat dunia bola sepak.

Oh, masih ingin mencari artistri Pirlo?

No comments:

Post a Comment

Pages