Saturday, 7 December 2013

Sepanyol patut beri Arteta peluang

Arteta sudah putus asa untuk wakili Sepanyol
di pentas antarabangsa.
Gambar: AP

Mungkin Mikel Arteta sudah berputus asa impian beraksi bersama Sepanyol tapi ruang masih terbuka buat pemain tengah Arsenal untuk dipanggil bersama skuad kebangsaan.

Timbalan kapten Gunners ini beberapa kali menyatakan impiannya untuk bermain bersama barisan pemain berbakat La Roja tapi pertengahan Jun tahun ini, dia menyatakan rasa putus asa dengan hasratnya itu.

Meskipun bermain secara kerap di Arsenal dan Everton sebelum ini, pemain yang juga sahabat karib Xabi Alonso ini masih tidak ada peluang beraksi di samping rakan senegaranya di peringkat antarabangsa walaupun pernah mewakili Sepanyol di skuad remaja.

Arsenal pada 9 Dis menentang Everton, kelab yang mana Arteta menghabiskan masa dari 2005 hinggalah 2011 apabila dibeli Gunners dengan laporan harga 10 juta pound, kini dipercayai oleh Arsenal sebagai tonggak pemegang tengah Arsenal.

Adalah sukar mempercayai pemain seperti ini terlepas pandang oleh Vicente Del Bosque dan persekutuan bola sepak Sepanyol hingga pernah satu ketika satu laman Facebook pernah diwujudkan peminat menggesa pemain ini diserap dalam skuad kebangsaan. Ketika rencana ini dibuat, laman itu itu sudah tidak wujud.

Pernah dipanggil beraksi pada Februari tapi 2009 hanya mengalami kecederaan serius di bahagian lutut beberapa hari kemudian hingga menyebabkan dia diketepikan sejak itu.


Del Bosque, pengendali skuad La Roja.
Arteta tidak merungut dengan keputusan itu dan percaya faktor usia selain barisan pemain tengah dimiliki skuad kendalian Vicente del Bosque itu menyebabkan dia rasa mustahil untuk tersenarai pemain Sepanyol.

"Saya kena realistik. Umur saya 31 dan tidak pernah lagi dipanggil sekarang, saya tidak lihat ini akan berlaku."

"Sepanyol miliki jentera tengah terbaik di Eropah dengan pemain seperti Xavi, Andres Iniesta, Xabi Alonso, Sergio Busquets, Cesc Fabregas dan Juan Mata jadi saya tidak merungut jika tidak dipanggil Del Bosque."

"Hasrat dan impian saya adalah mewakili negara tetapi realitinya, peluang ini sangat, sangat tipis."

Rakan senegara yang juga beraksi kelab sama dengannya, Santi Cazorla sendiri tidak mempercayai Arteta masih belum pernah dipanggil untuk skuad senior Sepanyol.

"Saya sangat terkejut dia belum pernah dipanggil," kata Cazorla. "Dia bermain dengan cemerlang. Dia ada musim yang bagus ketika beraksi untuk Everton dan sekarang dia timbalan kapten di Arsenal. Dia patut diberi peluang.
Arteta dan Cazorla, rakan
senegara beraksi untuk Arsenal.


"Memang susah kerana banyak persaingan bagi posisi itu dan semua pemain yang bagus tapi saya rasa pelik dia belum pernah dapat peluang."

Bermain di posisi lebih jauh di belakang bahagian tengah Arsenal sejak Arsene Wenger menjual Alex Song ke Barcelona, Arteta membentuk semula permainan hantarannya selain memperbaiki corak pertahanannya. Arteta mengetuai jumlah hantaran keseluruhan di liga utama Eropah dengan 65 hantaran dan 25 purata hantaran lebih tinggi daripada Alonso atau Busquets.

Musim lepas, Arteta memiliki kejayaan hantaran dengan kadar 94 peratus dan bukan sekadar hantaran pendek tetapi juga lorongan jauh dengan purata 6.6 hantaran jauh apabila 46 daripada 50 berjaya - 92%. 

Pada musim 2012/3, pemain yang membesar di San Sebastian, Sepanyol ini  mula mengukuhkan diri di bahagian pemegangg tengah dan mempamerkan aksi cemerlang antaranya melakukan tujuh terjahan berjaya dalam perlawanan BPL menentang Liverpool, menutup serangan gandingan di antara Luis Suarez, Daniel Sturridge dan Philippe Coutinho dalam kemenangan. Ini dapat dilihat berdasarkan paparan rajah di bawah bagi statistik menentang Liverpool.
Diperoleh menerusi Whoscored
Arsenal yang dibentuk Wenger musim ini mula memperlihatkan barisan jentera tengah yang digeruni dengan pemain berkelas dan semakin meningkat naik seperti Mesut Ozil, Santi Cazorla, Aaron Ramsey, Jack Wilshere, Mathieu Flamini dan mestilah Arteta antara barisan pemain ini.

Kadar terjahan berjaya setiap perlawanan Arteta mengagumkan dan hanya Ramsey sahaja pemain Arsenal yang memiliki kadar lebih tinggi. Walau bagaimanapun kadar purata hantaran Arteta adalah paling tinggi di kalangan pemain Gunners dengan 92.8 peratus (statistik setakat kemenangan 2-0 menentang Marseille pada 26 Nov).
Diperoleh menerusi Whoscored
Mungkin pemain seperti Ramsey dan Ozil yang mencuri tumpuan ketika ini dan pada musim lepas, Cazorla cemerlang untuk Arsenal tetapi tidak dinafikan Arteta memberikan tenaga di bahagian tengah kelab utara London itu dengan hantaran yang sabar, membantu rakan mendapatkan semula penguasaan atau mematikan serangan lawan. Sumbangannya cukup besar sejak dibeli Wenger dari Everton pada 2011.

Tetapi kekerapan bermain di kelab tidak menjanjikan panggilan skuad kebangsaan sehingga menjadi pertanyaan ramai.

Pada 2012, Arteta pernah menyatakan keinginan beraksi untuk skuad kebangsaan England, walaupun dia tidak menganggap kenyataan itu terlalu serius.

"Jika negara lain mungkin saya tolak, tetapi kerana cadangan dari sini saya boleh fikir mengenainya," kata Arteta. "England sangat bagi saya, dari segi profesional dan peribadi."

"Tapi akhirnya saya bukan buat keputusan kerana saya tidak dibenarkan bermain (untuk England) kerana peraturan FIFA. Sekurang-kurangnya saya terharu mengetahui Fabio Capello dan kakitangannya berfikir membawa saya beraksi untuk skuad kebangsaan (England).

"Dari beberapa segi saya rasa macam English kerana menghabiskan sebahagian besar karier saya di sini.

Menghabiskan masa di Everton selama beberapa tahun - kelab yang tidak dianggap elit mungkin menyebabkan Del Bosque terlepas pandang pemain ini.

Tidak dinafikan sukar untuk merebut tempat dengan adanya Xavi, Iniesta dan Xabi Alonso di bahagian tengah Sepanyol dan pada usia 31 tahun menyebabkan lebih sukar baginya. Sekiranya lebih awal dia berpindah ke Arsenal, mungkin dia antara pemain tengah La Roja ketika ini. Kini, Arteta adalah antara pemain bola sepak yang bagus tidak pernah beraksi untuk skuad senior.

No comments:

Post a Comment

Pages