Sunday, 8 December 2013

Everton kuasai Arsenal di Emirates

Deulofeu merai jaringan, memadam gol pembukaan Ozil. Gambar: AP

Arsenal mensia-siakan peluang untuk membuka jurang tujuh mata di puncak ketika melayan Everton di Stadium Emirates selepas perlawanan berakhir seri 1-1.

Perlawanan memberikan masing-masing satu mata untuk dikongsi kedua-dua pasukan apabila Gunners dan Toffees bersaing dengan sengit sekali. Bagaimanapun, Arsenal melepaskan kelebihan untuk menjarakkan diri bermain di laman sendiri selepas kebanyakan pencabar terdekatnya kecundang atau sekadar seri tetapi patut merasa bersyukur kerana tetap mengutip mata.

Ini kerana Everton bermain dengan baik sekali terutamanya pada separuh masa pertama. Setakat musim ini, barisan tengah Arsenal antara yang terbaik di England dan sering mendominasi kawasan tengah lawan menerusi pemain seperti Aaron Ramsey, Mesut Ozil, Mikel Arteta dan Santi Cazorla. Tetapi tidak malam ini, menentang Everton.

Mengejutkan (sekurang-kurangnya perlawanan ini), Everton yang dikendalikan Roberto Martinez mengasak pasukan tuan rumah dan menguasai bola sebanyak 55% - menyempurnakan 433 daripada 515 hantaran mereka iaitu kadar kejayaan 84%.

Terutamanya pada separuh masa pertama, bukan sahaja Everton menguasai hampir 70% bola tetapi melakukan pintasan, mengganggu hantaran serta mengasak Arsenal sehingga Gunners banyak melakukan kesilapan hantaran - daripada 403 hantaran, hanya 317 sahaja yang berjaya. Bagi pasukan kendalian Arsene Wenger untuk dikuasai musim ini adalah sesuatu yang agak mengejutkan.

Kebiasaannya, pasukan pelawat beraksi di Emirates akan lebih banyak bertahan tetapi pemain Everton bermain dengan yakin dan mampu memaksa kesilapan Arsenal. Bagaimanapun, benteng pertahanan Arsenal boleh dipuji kerana mampu mengekang Romelu Lukaku.

Dengan Per Mertesacker dan Laurent Koscielny di bahagian pertahanan tengah, Arsenal masih kental. Koscielny melakukan 8 pintasan, membuang 9 kali bola dan dua halangan cubaan gol menjadikannya antara pemain melakukan tugas bertahan terbaik malam itu.

Tetapi tumpuan malam itu pastinya terarah kepada Everton di bahagian tengah dengan pemain seperti Ross Barkley antara yang menyerlah selain daripada Gareth Barry, Bryan Oviedo. Ross Barkley, pemain dari England baru berusia 20 tahun mampamerkan aksi cemerlang apabila beberapa kali menemui ruang di bahagian tengah, meloloskan diri dari pemain lawan.
Barkley membawa bola dikejar Giroud. Gambar: AP

Tidak hairan jika Barkley boleh diserap ke skuad England untuk Piala Dunia tahun hadapan selepas beberapa perlawanan menunjukkan kematangan permainannya. Malam itu, dia menyempurnakan 46 daripada 5 hantaran, mencipta tiga peluang gol.

Gerard Deulofeu menggantikan Barkley menjelang tamat permainan dan pemain pinjaman dari Barcelona itu tidak mensia-siakan penampilannya dengan menjaring gol penyamaan pada minit ke-83 yang mengejutkan Gunners apabila mendahului 1-0 hanya selama tiga minit.

Roberto Martinez boleh berbangga dengan pasukannya dan boleh dipuji kerana dalam tempoh singkat, dia sudah menerap falsafah permainan diinginkannya dalam kelab Merseyside itu. Pertemuan menentang Arsenal menunjukkan kelab itu selayaknya berada di antara lima pasukan teratas di Liga Perdana.

No comments:

Post a Comment

Pages