
Ozil dan Ramsey tunjang jentera tengah Arsenal. Gambar: GETTY IMAGES
Tidak disangkal prestasi Gunners kebelakangan ini memberangsangkan dan kualiti dimiliki kelab utara London itu selayaknya mampu mengakhiri kemarau trofi lapan tahun mereka.
Ketika tulisan ini dibuat, Arsenal masih belum mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati untuk melepasi Kumpulan F yang digelar 'Kumpulan Maut' dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA musim 2013/14 apabila diundi bersama kelab seperti Borussia Dortmund, Napoli dan Marseille.Persaingan peringkat kumpulan ini ternyata sengit apabila tidak ada seri dalam persaingan kumpulan setakat ini melainkan kalah atau menang sahaja dengan Gunners teratas carta berkongsi sembilan mata bersama Napoli.
Arsenal juga adalah kelab Inggeris pertama yang menang di gelanggang Dortmund, Signal Iduna Park walaupun menerima asakan bertalu-talu daripada tuan rumah, jaringan tunggal perlawanan oleh Aaron Ramsey memberi kita peringatan Arsenal mampu menimbulkan ancaman kepada sesiapa di laman lawan.
"Mereka boleh julang (Liga Juara-Juara) selagi tidak bertemu Bayern Munich," kata Jurgen Klopp, jurulatih Borussia Dortmund selepas menyaksikan pasukannya tewas 0-1 oleh Arsenal.
Kelab utara London itu juga dalam kedudukan selesa di Liga Perdana Inggeris ketika ini apabila lima mata dia atas berbanding pesaing terdekat dan kemenangan di Jerman itu pastinya akan memeri kelebihan psikologi buat Arsenal yang akan bertemu Manchester United minggu ini - sekiranya menang akan memperkuatkan kewibawaan Gunners untuk bergelar juara liga.
Bagaimanapun, penyerang Manchester United Wayne Rooney menyatakan kewibawaan Arsenal menjulang mahkota liga belum terjamin meskipun United ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu itu dengan pertemuan di antara kedua seteru lama itu akan berlaku pada hujung minggu ini.
"Kita kena tunggu dan lihat di mana kedudukan mereka Mac nanti," kata Rooney. "Kami pernah nampak mereka musim-musim sebelum apabila berada kedudukan empat teratas sebelum merundum pada Februari dan Mac, jadi ini bergantung kepada mereka untuk kekal kedudukan ini."
Jelas bagi Rooney, pemain United yang pernah seketika jadi sasaran Arsene Wenger pada jendela perpindahan pra-musim, masih mempertikaikan kelayakan Arsenal untuk menang EPL.
Tetapi satu lagi kemenangan pastinya melengkapkan minggu cemerlang apabila baru empat hari selepas mengalahkan Liverpool 2-0, Arsenal menang ke atas Dortmund dengan kedua-dua perlawanan mengekalkan catatan tanpa bolos menentang pasukan kuat.
Pengurus Arsenal, Wenger pastinya lega melihat kematangan dimiliki pasukan kendaliannya apabila menerima kritikan pada pembukaan kempen selepas kalah 3-1 oleh Aston Vila di Liga Perdana dan gagal membawa pemain ternama atau posisi diperlukan iaitu penyerang masuk ketika jendela perpindahan, sebelum merebut pemain antarabangsa Jerman, Mesut Ozil dari Real Madrid pada saat akhir jendela perpindahan.
Bagaimanapun perlawanan pertama itu adalah kekalahan terakhir Arsenal dalam liga sehingga kini dan keperwiraan ditampilkan Aaron Ramsey, kerja keras Olivier Giroud dan kemasukan Ozil seumpama membawa tuah buat Gunners.
![]() |
Arsenal mesti mencari penyerang yang mampu mengurangkan beban ditanggung Giroud pada jendela perpindahan Januari hadapan. Gambar: EPA |
Adalah masih terlalu awal untuk memperkatakan Arsenal mampu mengakhiri kemarau trofi lapan tahun kelab itu meskipun konsisten sepanjang tempoh berkenaan tetapi inilah mungkin peluang dan masanya buat Arsenal mengutip trofi kali ini.
No comments:
Post a Comment