![]() |
Kontrak Rajagobal tidak disambung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). |
PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak menyambung kontrak ketua jurulatih skuad kebangsaan, Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang tamat 31 Disember ini.
Keputusan
berkenaan dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan
oleh Presiden FAM Sultan Ahmad Shah di Wisma FAM di Kelana Jaya pada Ahad.
Naib
Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal berkata jurulatih skuad Harimau Muda A
(bawah 23 tahun) Datuk Ong Kim Swee akan menggantikan Rajagobal sebagai pengendali
sementara selepas Sukan SEA Myanmar, bulan depan.
Rajagobal
dilantik sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya pada 2009.
"Untuk
menaikkan lagi tahap sukan bola sepak negara, adalah perlu untuk kita memberikan
peluang kepada jurulatih lain yang boleh memberikan sumbangan lebih hebat
kepada negara," kata Subahan pada sidang media selepas mesyuarat itu.
"Saya
yakin dengan pengalaman beliau bersama FAM sebelum ini dapat membimbing
beberapa pasukan lain di luar sana. FAM ingin merakamkan penghargaan kepada
Rajagobal atas sumbangannya terjadap negara selama ini," katanya.
Subahan
berkata FAM sedang menyenarai pendek beberapa calon yang sesuai untuk
menggantikan tempat Rajagobal.
"Kalau
mengambil masa yang lama (untuk melantik jurulatih baharu), maka Kim Swee
bertanggungjawab untuk membimbing skuad Harimau Malaya pada perlawanan terakhir
(kelayakan Piala Asia 2015) menentang Yemen pada Mac depan.
"Kita
bagaimanapun masih berharap dapat mencari pengganti Rajagobal selewat-lewatnya
sebelum aksi menentang Yemen nanti," katanya.
Antara
pencapaian terbaik Rajagobal ialah membantu skuad B-23 negara menamatkan kemarau
20 tahun pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos selain membantu skuad Harimau
Malaya menjulang Piala AFF buat kali pertama pada 2010.
FAM
sebelum ini meletakkan petunjuk prestasi utama kepada Rajagobal untuk melayakkan
diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia namun ia gagal dicapai oleh
jurulatih berusia 57 tahun itu selepas Malaysia sekadar menduduki tangga ketiga
kumpulan D kelayakan dengan empat mata.
Dalam
pada itu, Subahan mengesahkan bahawa FAM bersetuju untuk menyambung kontrak Kim
Swee yang tamat pada 31 Dis ini, namun beliau enggan mendedahkan tempoh kontrak
berkenaan.
Kim
Swee yang membimbing skuad muda negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA
2011 di Indonesia sebelum ini dilaporkan mendapat tawaran lumayan daripada Persatuan
Bola Sepak Myanmar untuk membimbing skuad kebangsaan negara berkenaan. -Bernama
No comments:
Post a Comment