Friday, 23 September 2016

Mourinho mahu diamkan pengkritik

MOURINHO .... Bergelut sejak bergelar pengurus United.


Jose Mourinho berikrar untuk mendiamkan pengkritik apabila Manchester United berdepan juara bertahan Leicester manakala musuh lamanya Arsene Wenger berharap dapat meraikan peristiwa penting yang tidak dapat dilupakan dengan kemenangan keatas Chelsea pada Sabtu ini.
Mourinho mendapati dirinya dikecam kurang dua bulan dalam tempohnya mengendalikan United selepas tiga kekalahan berturut-turut dan kemenangan kurang meyakinkan dalam Piala Liga keatas pasukan divisyen tiga Northampton.
United sudah ketinggalan enam mata dibelakang pendahulu Liga Perdana Manchester City dan satu lagi kegagalan di Old Trafford hujung minggu ini boleh menjadi tamparan besar dalam usaha Mourinho membangkitkan pasukan yang semakin tenggelam dalam beberapa tahun terakhir ini.
Selepas memenangi tiga perlawanan pertama liga dibawah Mourinho, selain mengalahkan Leicester dalam Perisai Komuniti (piala sumbangsih), United tunduk kepada City dan Watford, selain kalah di Feyenoord dalam Liga Europa.
Taktik dan pemilihan pemain Mourinho dipersoalkan, sambil wujud andaian tentang kritikan terbuka pengurus itu terhadap pemain-pemain individu, termasuk pemain pertahanan yang dihantui kecederaan Luke Shaw, tidak diterima baik di bilik persalinan.
Menundukkan pasukan kerdil Northampton gagal menghapuskan rasa tidak puas hati yang kian memuncak tetapi, dengan lagak penuh yakin seperti selalu, Mourinho tampil berjuang.
GUARDIOLA .... Permulaan kempen cemerlang sejak 
mengendalikan City.

“Kami lalui minggu yang teruk. Saya sedar dunia ini penuh dengan ‘Einstein’ (orang-orang yang pandai). Saya tahu mereka cuba padamkan karier saya selama 16 tahun ini,” keluh Mourinho.
“Mereka cuba padamkan sejarah menakjubkan Manchester United dan fokus kepada minggu buruk dengan tiga keputusan yang teruk. Tetapi beginilah bola sepak baharu, ia penuh dengan ‘Einstein’.
Keadaan yang dilalui Mourinho pada hujung minggu sama dimana Wenger meraikan ulang tahunnya ke-20 sebagai pengurus Arsenal pasti turut mendapat tumpuan pengurus dari Perancis itu.
Wenger, yang telah menerima banyak kritikan dari Mourinho pada masa lepas, berdepan Chelsea dengan azam untuk memperbaiki rekod buruk lima kemenangan dalam 31 pertemuan terakhirnya dengan kelab itu.
Peristiwa penting terakhirnya – perlawanan ke-1,000 sebagai pengurus Arsenal – dirosakkan oleh kekalahan besar 6-0 di Stamford Bridge.
Tetapi selepas menyaksikan skuad barisan keduanya menang 4-0 di Nottingham Forest dalam Piala Liga pada pertengahan minggu, selepas menang 4-1 di Hull hujung minggu lepas, Wenger percaya kekuatan dalaman skuadnya akan membantu membetulkan kembali keadaan selepas permulaan goyah musim ini.
“Kami ada empat hari untuk bersiap bagi perlawanan ini, ayuh tumpukan kepadanya sekarang,” kata Wenger.
“Prestasi menunjukkan pemain-pemain yang beraksi di Hull perlu berada di tahap terbaik dan itulah yang kami inginkan – persaingan merebut tempat.”
Chelsea pula turun dalam aksi setempat ini dengan kemenangan 4-2 di Leicester dalam Piala Liga dimana mereka bangkit dari ketinggalan 2-0.
Seorang pemain yang amat berharap diturunkan di Emirates ialah Cesc Fabregas, yang mencipta namanya sebagai pemain dibawah Wenger di Arsenal.
Everton cemerlang dalam Liga Perdana apabila menghuni kedudukan kedua setakat ini sejak diurus Ronald Koeman.

Pemain tengah Sepanyol itu belum memulakan perlawanan liga musim ini, tetapi selepas menjaringkan dua gol pada masa tambahan di Leicester, dia berharap dapat membuka laluan untuk kesebelasan utama pilihan Antonio Conte hari ini.
“Ini situasi baharu buat saya dalam karier saya selepas 13 tahun bermain secara tetap untuk kelab dan pasukan negara,” kata Fabregas.
“Dan ia cukup sukar, saya tidak akan nafikannya. Tetapi perkara terakhir yang akan saya lakukan ialah merungut atau berputus asa.”
Pendahulu liga, City, bertandang ke Swansea buat kali kedua minggu ini selepas menang 2-1 di Stadium Liberty dalam Piala Liga.
City menang kesemua sembilan perlawanan dibawah Pep Guardiola, termasuk lima dalam liga, dan pengurus dari Sepanyol itu mengekalkan pasukannya di selatan Wales untuk menambah tempoh memulihkan tenaga pada waktu yang sibuk ini.
Walaupun begitu, perubahan pasti dilakukan memandangkan Sergio Aguero akan kembali selepas digantung perlawanan manakala ketua pasukan Vincent Kompany bergelut dengan kecederaan yang dialaminya pada pertengahan minggu.
“Saya mahu kami pulih dengan sebaiknya, berlatih sebaik mungkin dan membuat persediaan terbaik untuk perlawanan di Swansea, untuk perlawanan kami dalam Liga Juara-Juara dan untuk berdepan Tottenham di tempat lawan,” kata Guardiola.
Pasukan tangga kedua Everton bertandang ke Bournemouth dengan azam bangkit dari kekalahan pertama mereka, dalam Piala Liga kepada Norwich pada pertengahan minggu, sejak pengurus dari Belanda Ronald Koeman mengambil alih. -AFP 

No comments:

Post a Comment

Pages