Tuesday, 24 December 2013

Analisis:Perlawanan ingin menang tapi tidak mahu kalah di antara Chelsea dan Arsenal

Petr Cech cuba menangkap bola ketika bertembung dengan Mesut Ozil. Gambar: AP

Arsene Wenger masih belum menang menentang Jose Mourinho. Ini kenyataan dan sekali lagi jurulatih dari Portugal ini membuktikannya pada perlawanan Liga Perdana baru-baru ini.

Chelsea bertandang ke Stadium Emirates menentang Arsenal dan memperoleh keputusan seri 0-0 yang pastinya membuka ruang kepada pasukan lain (Manchester City, Liverpool, Everton misalnya) dalam lima kelab teratas selain Gunners dan Blues.

Walaupun Chelsea masih belum mencapai kekuatan seperti ketika musim 2005/06, Mourinho menggerakkan pasukannya dengan cara hampir serupa dengan memakai corak bertahan kukuh dengan 8 atau 7 pemain di belakang bola, perkara yang menjelaskan kenapa Wenger tidak pernah menewaskan Mourinho dalam liga. Ironiknya, Mourinho hanya menang dua perlawanan liga daripada tujuh menentang jurulatih daripada Perancis itu.

Kesebelasan utama utama Arsenal (kiri)
dan Chelsea. Foto ehsan Skysport

Arsenal menguasai 61.4 peratus bola tetapi dalam bola sepak, keputusan perlawanan diterjemahkan menerusi gol. Tetapi Mourinho sedia maklum penguasan bola tidak terlalu penting dan mengimbangkan pasukan kendaliannya.

Strategi Chelsea malam itu berkesan apabila Arsenal yang menguasai bola memiliki 7 cubaan manakala Chelsea yang bermain lebih waspada memiliki 13 cubaan. Cubaan Arsenal untuk mencorak permainan di bahagian kotak musuh kurang berkesan disebabkan taktik bertahan Chelsea apabila barisan pemain Blues yang ramai memaksa Gunners menghantar kembali ke belakang.

Arsenal terdedah dengan serangan balas Chelsea - perkara yang menjadi ancaman pasukan dari Stamford Bridge malam itu dan dua peluang jelas ketika counter attack apabila mula-mula sekali cubaan Frank Lampard terkena palang dan kedua ketika Willian menyepak rendah bola di sekitar ruang ditinggalkan Bacary Sagna.

Secara keseluruhan, pertahanan Arsenal masih memberangsangkan dan Thomas Vermaelen kembali mengetuai Gunners dan Mikel Arteta sedikit mengalami kesukaran di bahagian pemain tengah bertahan apabila Aaron Ramsey lebih ke depan dengan cuba mencari hantaran penting atau larian gol. 

Arsenal ada detik berbahaya apabila Sagna membuat hantaran berbahaya yang dikejar Ramsey tetapi tersia-sia dan pemain Wales itu masih bergerak seperti apa yang dilakukannya sepanjang musim ini memaksa Tomas Rosicky memenuhi ruang ditinggalkan Ramsey.

Chelsea berada di tangga keempat manakala Arsenal di tempat kedua, sama mata dengan Liverpool dan berada di belakang kerana perbezaan gol.

"Kami boleh perbaiki keputusan dnegan mendapatkan keselamatan (pertahanan) lebih baik apabila terlepas penguasaan bola," kata Mourinho minggu lepas dan berjaya membuktikannya malam itu.

Dan selepas perlawanan itu Mourinho berkata: "Ini adalah pertempuran taktikal. Arsenal mahu menang tapi tidak ingin kalah dan Chelsea juga ingin menang tapi tidak mahu kalah."

Arsene Wenger menyebut perkara yang hampir serupa dan Arsenal ternyata melepaskan peluang untuk memintas Liverpool di puncak dalam perlawanan yang dari segi teorinya memihak kepada Chelsea.

"Bahagian terakhir perlawanan itu kami patut menang. Mereka datang sini dan bertahan dengan baik dan hentam kami ketika serangan balas. Awal perlawanan kami sedikit nampak kurang kemas tetapi kami mengawal perlawanan pada separuh masa kedua dan patut menang."

"Apabila anda tidak dapat menang satu-satu perlawanan, jangan kalah dan itulah yang kami telah buat. Itu kenyataan yang kuat tapi lepaskan dua mata di tempat sendiri. Kami sudah bekerja keras."

No comments:

Post a Comment

Pages