Tuesday, 14 January 2014

Ballon d'Or: Ronaldo akhiri dominasi empat tahun Messi

Ronaldo memegang anugerah yang dimenanginya. Gambar: AP

Cristiano Ronaldo menamatkan dominasi empat tahun Lionel Messi apabila memenangi anugerah FIFA Ballon d’Or 2013 di Zurich pada Isnin.

Bintang Real Madrid dan Portugal yang memenangi anugerah tersebut pada 2008 menjadi pilihan ramai untuk mengatasi ayam tambatan Barcelona Lionel Messi dari Argentina, pemenang empat tahun sebelumnya, dan juga bintang Perancis Franck Ribery, yang menjuarai tiga gelaran semusim bersama Bayern Munich pada 2013.

Ronaldo menang dengan undian 27.99 peratus mengatasi Messi (24.72 peratus) manakala Ribery ketiga (23.36 peratus) menurut France Football, penganjur bersama anugerah tersebut bersama FIFA.

“Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan saya,” kata Ronaldo yang gagal menahan air mata kegembiraan.

“Saya gembira, saya ingin berterima kasih kepada semua rakan sepasukan, semua keluarga saya yang ada di sini.

“Mereka yang mengenali saya tahu berapa banyak pengorbanan yang terpaksa saya lakukan demi mencapai anugerah ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua yang meletakkan kepercayaan kepada saya dan saya ingin bercakap sekali lagi tentang (legenda Portugal yang meninggal dunia baharu-baharu ini) Eusebio dan (mendiang bekas presiden Afrika Selatan) Madiba (Nelson Mandela) dan memberi penghormatan kepada mereka buat kali terakhir.”

“Tidak diragui, saya berhak atas kejayaan ini, Messi dan Ribery juga begitu.

“Setiap kali adalah berbeza. Tetapi saya boleh katakan Ballon d’Or kedua ini lebih emosional, kerana ibu dan anak lelaki saya (yang menyertainya di pentas) berada di sini.”

Presiden Real Florentino Perez turut memberi penghormatan buat Ronaldo.

“Satu-satunya perkara yang ingin saya katakan ialah Ballon d’Or selayaknya menjadi milik Cristiano Ronaldo, ia satu pengiktirafan untuk usaha keras, bakat dan keinginan untuk menang setiap hari.”
Bagi Messi, kejayaan Ronaldo tidak banyak membawa perubahan.

“Saya memang ingin memenanginya, bagaimanapun, semangat saya tetap sama untuk berkembang, meningkat dan memenangi kejohanan,” ulasnya menerusi laman twitter Barcelona.

Bagaimanapun, Presiden UEFA yang juga ikon bola sepak Perancis Michel Platini pelik melihat kegagalan Ribery selepas membantu Bayern memenangi semua pertandingan yang mereka sertai.

Bahkan Platini, yang menjuarai Ballon d’Or tiga kali, berkata kebiasaan anugerah tersebut telah berubah sejak diletakkan dibawah penilaian FIFA pada 2010.

“Saya tumpang kecewa dengan Franck Ribery. Tahun depan kita akan kembali dan bakal menyaksikan persaingan dua penjuru Messi-Ronaldo, dalam dua tahun lagi begitu juga dan mungkin juga tiga tahun.

“Saya kecewa kerana selama 50 tahun Ballon d’Or mengambil kira keputusan perlawanan dan trofi di atas padang.

“Di sini kita bercakap tentang nilai global pemain dan itu memberikan masalah.”

Ronaldo menitiskan air mata
gembira.
Ronaldo, yang sememangnya diramal akan menang selepas berita tersebar di laman sosial lebih awal dalam tujuh hari ahli keluarga menyertainya di Zurich dam kelabnya Real menyiarkan majlis anugerah tersebut secara langsung di rangkaian televisyen rasmi dengan menukar program yang telah dijadualkan, menitiskan air mata di pentas ketika menyampaikan ucapan kemenangannya.

Ribery, yang menang Liga Juara-Juara, Bundesliga dan Piala Jerman bersama Bayern musim lepas, sebelum menambah Piala Super Eropah dan Piala Kelab Dunia sebelum memasuki tahun ini, sebelum ini menjadi calon utama.

Tetapi lanjutan dua minggu untuk tarikh akhir undian untuk jurulatih, ketua pasukan dan media antarabangsa, yang mencetuskan kontroversi, bermakna mereka yang mengundi boleh mengambil kira hatrik Ronaldo ketika mengatasi Sweden dalam playoff Piala Dunia November tahun lepas.

Itu dilihat memadai untuk mengalihkan kelebihan kepadanya.

Bagaimanapun, dengan 66 gol dalam 56 perlawanan tahun ini – lebih daripada gabungan 65 antara Messi dan Ribery – tidak ada sesiapa boleh menafikan Ronaldo sebagai pemenang yang selayaknya.

Ini merupakan kali kedua dia memenangi anugerah ini dan hadir selepas musim dimana dia gagal memenangi apa-apa, sam ada bersama kelab atau negara, satu situasi tidak biasa buat juara Ballon d’Or.

Seperti dijangka, jurulatih Bayern Jupp Heynckes, yang bersara selepas kejayaan tiga gelaran bersejarah mereka Mei lepas, memenangi anugerah jurulatih terbaik.

Penjaga gol Jerman Nadine Angerer dipilih pemenang Ballon d’Or wanita manakala jurulatih Jerman Silvia Neid menang anugerah jurulatih wanita terbaik.

Ballon d’Or penghormatan khas diberikan kepada legenda Brazil Pele, yang tidak pernah melayakkan diri untuk anugerah pemain terbaik sepanjang kariernya sebagai pemain kerana tidak pernah beraksi dalam liga Eropah.

Sejak edisi pertama pada 1956 sehingga 2010, Ballon d’Or dianugerahkan kepada pemain terbaik di Eropah dan anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA hanya mula diperkenalkan pada 1991, sebelum berakhir pada 2009 untuk ditukar kepada Ballon d’Or.

Zlatan Ibrahimovic menang anugerah gol terbaik Ferenc Puskas untuk sepakan gunting aktobatik menakjubkan dari 40 ela untuk Sweden dalam aksi persahabatan menentang England.

Bekas Presiden IOC Jacques Rogge mendapat anugerah presiden untuk ‘Personaliti Hebat dalam Sukan”. -AFP

Friday, 3 January 2014

Arsenal buru Diego Costa

Diego Costa.

Arsenal dilaporkan sedia membida £32 juta ke atas penyerang sensasi Atletico Madrid, Diego Costa pada jendela perpindahan kali ini.

Penyerang itu yang sudah mengukuhkan tempat di antara salah seorang penyerang terhangat Eropah ketika ini dan Gunners dilaporkan sedia berbelanja besar bagi perpindahan itu bulan ini.

Menurut Daily Star, penyerang kelahiran Brazil itu yang bernilai 32 juta pound dalam klausa dan Arsene Wenger sudah sedia membawa Mesut Ozil bernilai £42.5 juta pada Ogos, kini gembira untuk berbelanja besar sekali lagi.

Mencari seorang penyerang adalah keutamaan nombor satu Arsenal ketika ini disebabkan beban ditanggung Olivier Giroud apabila mengetuai jentera serangan untuk hampir seluruh muism buat Arsenal.

Costa yang pernah diburu Liverpool pada musim panas tetapi pemain berusia 25 tahun ini memilih kekal di Vicente Calderon.

Pages